fbpx

Lelaki ditahan bekal dadah kepada pengunjung pusat hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah kepada pengunjung pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditahan sepasukan polis di Jalan Dewan Bahasa, di sini kira-kira pukul 5 pagi, Isnin lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan dipandu suspek, polis menemui dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat 0.65 kilogram (kg) dan ketamin (0.0085 kg).

“Angaran keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM6,140,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sulizmie Affendy berkata, suspek dipercayai bergerak aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak pertengahan tahun ini.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan benzo.

“Polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza dan telefon bimbit dipercayai digunakan untuk pengedaran dadah kepada pelanggan.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 1 Disember depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau berkata, seorang lagi lelaki disyaki pengedar dadah kecil-kecilan ditahan polis di Jalan Tun Tan Siew Sin, di sini kelmarin.

Katanya, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kira-kira pukul 11.50 malam.

“Semakan mendapati suspek mempunyai 20 kesalahan lampau membabitkan pelbagai jenayah dan dadah. Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati dia positif morfin.

“Sejumlah dadah jenis heroin seberat 26.10g dianggarkan bernilai RM652 dirampas,” katanya.

Tambahnya, suspek direman tujuh hari sehingga 3 Disember untuk siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI