KUALA LUMPUR – Melakonkan watak sebagai isteri dicurangi dalam drama Curang Tanpa Niat tidak menggugat kepercayaan pelakon Mira Filzah terhadap suami iaitu Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar.
Jelas Mira atau nama lengkapnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 31, setiap pasangan yang berumah tangga perlu saling mempercayai antara satu sama lain.
“Saya memang percaya dengan suami dan meletakkan kepercayaan kepada dia. Rasa takut (bimbang) ketika berlakon itu ada, tetapi bagi saya perkara begini (lakonan) adalah dua perkara berbeza dengan realiti.
“Saya tidak menggabungkan antara soal kerjaya dan hal peribadi. Jadi, pada saya tidak timbul rasa kurang selesa dalam diri saya selepas melakonkan watak isteri dicurangi suami,” katanya kepada Kosmo! Online.
Mira yang ditemui dalam sidang media tiga drama terbitan Astro iaitu Curang Tanpa Niat, Rahsiamu Selamat Denganku dan Opis Politik di sini semalam turut memberitahu, komunikasi menjadi kunci utama hubungannya dengan suami sejak mendirikan rumah tangga pada 3 September 2020.
“Suami saya tahu saya berlakon dalam cerita ini (tentang kecurangan). Saya sangat bersyukur kerana dia banyak memberi sokongan.
“Seperti saya katakan, saya sangat percaya dengan suami dan meletakkan kepercayaan kepada dia. Bagi saya komunikasi itu sangat penting dan sebagai pasangan yang sudah berumah tangga, saya juga sangat mementingkan komunikasi dengan suami,” katanya.
Sepanjang empat tahun berumah tangga, Mira dan Wan Emir dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Wan Khai Amir yang kini berusia dua tahun.
Dalam perkembangan lain, Mira yang terlibat dalam drama Curang Tanpa Niat terbitan iFAME akan memulakan siaran di saluran Astro Ria pada 23 Disember depan.
Selain Mira, karya arahan Eyra Rahman itu turut membariskan pelakon antaranya Shukri Yahaya, Sharifah Sakinah, Evertts Gomes dan Azqa Aziz. – KOSMO! ONLINE