PETALING JAYA – Seorang guru sebuah sekolah menengah di sini ditahan polis kerana memiliki dadah jenis ganja bernilai RM6,300 dalam serbuan di Damansara Damai, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, penanahan suspek lelaki berusia 40 tahun itu dibuat kira-kira pukul 6.45 petang.
“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai dadah disyaki ganja seberat 210 gram.
“Berdasarkan siasatan awal, dadah itu dipercayai adalah untuk kegunaan sendiri,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Shahrulnizam, ujian saringan awal air kecing mendapati suspek positif dadah, namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Katanya, suspek direman bermula semalam sehingga 1 Disember depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE