fbpx

Siti Bainun tarik balik permohonan tangguh hukuman di Mahkamah Tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail Siti Bainun ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi pada prosiding lalu.

KUALA LUMPUR – Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali menarik balik permohonan terhadap penangguhan hukuman penjara 12 tahun atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom down, Bella di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Perkara itu dimaklumkan peguam Asyraaf Abu Bakar Hamzah yang mewakili Siti Bainun, 32, selaku perayu pada sebutan kes rayuan itu di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid.

Semasa prosiding, peguam itu berkata penarikan permohonan itu atas arahan anak guamnya.

Sebelum ini, pihak pembelaan Siti Bainun mendapat arahan untuk memfailkan satu permohonan baharu penangguhan pelaksanaan hukuman di Mahkamah Tinggi.

Pihak pendakwaan kemudian tidak membantah dengan penarikan permohonan berkenaan. Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Azhar kemudian membatalkan permohonan tersebut.

Sebelum ini pada 23 Mei tahun lalu, Siti Bainun gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Datuk Ahmad Bache ketika itu memutuskan demikian selepas menolak permohonan Siti Bainun selaku pemohon selain meneliti hujahan dan afidavit yang dikemukakan kedua-dua belah pihak sebelum ini.

Pada 2 Mei lalu, Siti Bainun kekal atas sabitan dan hukuman penjara 12 tahun itu oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin yang mendengar rayuan berhubung sabitan yang diputuskan Mahkamah Sesyen sebelum itu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja tersebut cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Selain hukuman penjara, Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI