PETALING JAYA – Peluang membuat persembahan di Singapura menerusi persembahan diberi nama Bocey Comeback Live In Singapore membuktikan kumpulan pelawak Bocey masih mendapat permintaan dalam kalangan peminat.
Jelas Achey atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Hamzah, 37, biarpun Bocey dikatakan tidak bergerak aktif seperti dahulu, namun kumpulan tersebut tidak pernah dibubarkan.
“Ramai fikir selepas Allahyarham Abam meninggal, Bocey juga sudah berkubur. Mungkin kerana kami kurang muncul di televisyen atau menyertai pertandingan lawak bersama membuatkan mereka berfikir begitu.
“Apa yang pasti, Bocey masih wujud dan tidak pernah berpecah. Saya dan Fad tetap meneruskan nama Bocey ini dan kami sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk membuat persembahan di luar negara.
“Bagi kami ini permulaan yang baik sempena meraikan tahun 2025. Persembahan ini juga membuktikan kami masih releven dalam industri,” katanya kepada Kosmo! Online.
Selain Bocey, gandingan Dol’ Poadcast terdiri daripada Shuib, Mamat, Shuk Sahar dan Fizie turut akan menyerikan persembahan yang akan diadakan di Capitol Theatre, Singapura pada 30 November ini.
Tambah Achey, kehadiran Dol’s Podcast secara tidak langsung dapat memberikan impak jenaka luar biasa apabila menampilkan kumpulan Sepah iaitu Mamat dan Shuib.
“Sepah antara kumpulan pelawak yang terkenal dengan jenaka bersahaja di atas pentas. Mungkin dahulu program pelawak ini mendapat perhatian banyak pihak. Selain daripada jenaka, kami juga akan membuat persembahan secara muzikal.
“Jadi inilah masa untuk kita kembalikan semula kegemilangan program jenaka seperti dahulu. Difahamkan juga peminat rindu untuk melihat mereka (Sepah) kembali beraksi di atas pentas. Jadi pada kami ini adalah peluang terbaik untuk bergabung dengan mereka,” katanya,
Tiket persembahan lawak anjuran Filloz Entertainment & LR Asia dengan kerjasama HMA Entertainment dijual pada harga sekitar RM225 sehingga RM550, manakala penonton yang hadir berpeluang untuk beramah mesra bersama mereka dan membawa pulang poster eksklusif. – KOSMO! ONLINE