KOTA BHARU – Banjir di Kelantan semakin buruk apabila seramai 29,023 mangsa banjir ditempatkan di 150 buah pusat pemindahan sementara (PPS) susulan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, setakat pukul 8 pagi tadi, hanya daerah Gua Musang yang masih belum mempunyai mangsa banjir yang berlindung di PPS.
Menurutnya, kesemua mangsa terlibat di sembilan daerah itu terdiri daripada 8,746 keluarga.
“Pasir Mas merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai dengan 11,689 orang diikuti Tanah Merah (3,224), Kuala Krai (2,826),Pasir Puteh (2,757), Tumpat (2,405), Kota Bharu (2,157), Bachok (1,443), Machang (1,750) dan Jeli (773),” katanya.
Sementara itu, Sekreteriat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia melaporkan, empat sungai di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai, Sungai Golok (Rantau Panjang), Sungai Melor (Jambatan Melor) dan Sungai Semerak (Pasir Puteh).
Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Sungai Golok di Kuala Jambu mencatatkan bacaan amaran.
Paras air Sungai Kelantan di Tambatan Diraja pula berada pada paras berjaga-jaga apabila menunjukkan trend menaik. – KOSMO! ONLINE