KUALA LUMPUR – Sabah FC muncul pasukan pertama mara ke suku akhir selepas menyingkirkan PT Athletic FC 7-0 secara agregat.
Selepas menang 4-0 pada perlawanan pertama, aksi kedua pusingan 16 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi, Sabah FC menang 3-0.
Terdahulu, PT Athletic berjaya memberikan cabaran kepada The Rhinos hingga menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 45 minit pertama.
Bagaimanapun, faktor pengalaman seakan berpihak kepada Sabah FC yang dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-63 ekoran terjahan yang dilakukan Abdul Latiff Suhaimi ke atas Farhan Roslan.
Peluang keemasan itu tenang disempurnakan oleh Darren Lok untuk membuka jaringan pertama perlawanan sekaligus beri kelebihan besar buat Sabah FC.
Memasuki minit ke-72, Sabah FC seakan berjaya mematikan sisa perjuangan pasukan lawan apabila menambah gol kedua menerusi Stuart Wilkin sebelum Joao Pedro meledak gol ketiga pada minit ke-80.
Keputusan ini menyaksikan Sabah FC akan menanti pemenang antara Penang FC ataupun Kuching City. – KOSMO! ONLINE