PETALING JAYA – Restoran terapung terkenal di negeri Kelantan, JL Fara Houseboat yang dikatakan mencecah harga RM1.2 juta hanyut di Sungai Kelantan, susulan hujan lebat dan arus deras sehingga menyebabkan banjir melanda Pantai Timur.
Menerusi hantaran video pada TikTok pemilik restoran tersebut Fara JL, restoran yang hanyut itu telah ditemui, namun terdapat kerosakan teruk terutama di bahagian dapur selepas ditimpa oleh pokok besar.
“Hati luluh ya Allah, semalam JL Fara Houseboat baru sahaja ditimpa pokok besar sehingga hancur dapur. Hari ini kedua-dua houseboat Kak Fara hanyut, personal dan restoran.
“Houseboat ini antara saksi kejayaan Kak Fara di mana sebelum adanya nasi berlauk JL Fara. Dengan nilai houseboat hampir cecah RM1.2 juta,” katanya pada video yang dimuat naik hari ini.
Wanita itu menceritakan, kejadian bermula susulan hujan lebat dan seterusnya berlaku pokok tumbang.
“Semalam kami tak tidur sehingga subuh, sebab rakit hampir tenggelam akibat pokok jatuh. Hari ini air sungai dah naik dan laut. JL Fara Houseboat tak dapat bertahan.
“Sayang kuat, sama-sama kuat. Suami Kak Fara tak tidur hampir tiga malam. Daddy kuat, mummy pun kuat,” katanya.
Dalam pada itu, dia turut bersyukur dan berterima kasih kepada orang ramai yang membantu pencarian restoran terapung mereka yang hanyut di sungai.
“Terima kasih yang mendoakan, terima kasih yang sanggup menolong kami, ada yang naik sampan, yang naik bot bersama anak. Ya Allah terima kasih yang tak terhingga.
“Syukur kepadamu Ya Allah, kedua-dua rakit dapat diselamatkan setakat ini, tapi hujan masih lebat dan air sungai laju. Harap houseboat Fara dapat bertahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE