SHAH ALAM – Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki menggunakan kayu penyodok, September tahun lalu.
Tertuduh, K. Kumaran, 37, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua orang anak itu telah menyebabkan kecederaan parah seorang lelaki berusia 35 tahun dengan menggunakan sebatang kayu penyodok yang boleh menyebabkan kematian.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Matang Pagar, Sungai Buloh kira-kira pukul 1 pagi pada 28 September tahun lalu.
Justeru, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohd. Saubian memohon ikat jamin RM15,000 bersama seorang penjamin bersama syarat tambahan tertuduh atau ahli keluarganya tidak boleh mendekati serta menghubungi mangsa menerusi sebarang medium selain perlu melaporkan diri setiap awal bulan di balai polis berhampiran.
Kumaran tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan susulan tidak bekerja sejak setahun lalu dengan isterinya hanya bekerja sebagai pekerja pembersihan dengan gaji RM1,000 sebulan dan menampung dua anak mereka.
Mahkamah menetapkan jaminan RM11,000 bersama seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.
Tarikh fakta kes dan jatuh hukum pada 23 Februari depan. – K! ONLINE