GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menahan 11 lelaki selepas mereka disyaki terlibat dengan kumpulan yang menjalankan aktiviti jenayah yang berleluasa di negeri ini.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, operasi kira-kira pukul 3.30 pagi itu dijalankan di bawah Op Cantas Mutiara oleh Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pulau Pinang dibantu oleh Bahagian Jenayah Terancang (B14) dan Bahagian Operasi Khas (D8) Bukit Aman.
“Seramai 11 individu ditahan menerusi operasi ini, kumpulan ini telah bergiat aktif sejak tahun 2020.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana menganggotai sebuah kumpulan jenayah terancang,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Sosma) selama 28 hari mulai 27 November sehingga 28 Disember depan,” katanya. -KOSMO! ONLINE