PETALING JAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan meneruskan program 10 gaya hidup Rakan Muda pada tahun hadapan.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, program itu akan memberi peluang penyertaan belia di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan serta mencungkil bakat baharu dalam kalangan pelajar dan belia.
Beliau berkata, program Rakan Muda akan diperhebatkan di peringkat sekolah serta Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan dilaksanakan secara kerjasama dengan rakan pelaksana yang terdiri daripada pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan, NGO, IPT dan persatuan belia.
“Program Rakan Muda turut memberi fokus kepada isu Kesihatan mental belia (Rakan Prihatin), Pendidikan demokrasi, perpaduan dan patriotisme dan pembentukan jati diri anak muda yang positif melalui 10 Gaya Hidup Rakan Muda.
“Berhubung Insentif bagi peserta Rakan Muda penglibatan peserta Rakan Muda akan dikira di dalam Pentaksiran Aktiviti Sukan, Jasmani dan Kokurikulum Sekolah Menengah (PAJSK-SM) yang menjadi nilai tambah untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi KBS di Dewan Rakyat hari ini.
Hannah berkata, KBS akan meneroka lebih banyak insentif lain bersama Kementerian Pengajian (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi penglibatan pelajar sekolah dan IPT dalam program Rakan Muda di samping akan turut meneroka insentif lain dengan pihak swasta.
“Peserta Rakan Muda juga berpeluang untuk mengikuti program pembangunan belia yang lain di bawah KBS yang berkaitan dengan aspek kepimpinan, keusahawanan dan kemahiran untuk melahirkan pemimpin muda di kalangan anak muda serta membuka peluang dalam bidang keusahawanan dan kemahiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE