JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya menggagalkan cubaan menculik seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dengan menahan seorang lelaki warga China di Kuantan, Pahang semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada bapa mangsa yang merupakan warga China mengenai anaknya tidak hadir ke sekolah di Singapura, kelmarin.
Katanya, menurut bapa pelajar perempuan yang berusia 48 tahun itu, anaknya disyaki dilarikan individu tidak dikenali.
“Hasil semakan awal mendapati mangsa telah dibawa masuk ke Malaysia melalui pintu masuk Woodland, Singapura pada Ahad lalu.
“Melalui risikan dijalankan semalam, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat serbuan dan berjaya menyelamatkan mangsa di Kuantan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Kumar berkata, dalam serbuan itu, suspek warga asing berusia 22 tahun itu ditahan di lokasi yang sama mangsa diselamatkan.
Menurutnya, pelbagai barang kes seperti telefon bimbit, pakaian dan peralatan yang dipercayai digunakan semasa kejadian dirampas untuk siasatan lanjut.- KOSMO! ONLINE