ARAU – Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Arau dan Padang Besar bagi menempatkan mangsa banjir susulan hujan berterusan lebih 24 jam.
Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka yang menempatkan sembilan mangsa daripada dua keluarga dari Kampung Rambai dibuka pada pukul 2.30 petang tadi.
Sementara itu, PPS SK Titi Tinggi dibuka pada pukul 4 petang bagi menempatkan 11 keluarga melibatkan 41 mangsa terjejas dari Kampung Titi Tinggi Hilir, Padang Besar.
Dalam pada itu, seorang mangsa banjir, Asma Husna Othman, 44, berkata, rumahnya di Kampung Rambai di Arau mula dinaiki air kira-kira pukul 3 pagi tadi.
“Kira-kira pukul 10 pagi tadi, paras air semakin tinggi dan kebanyakan kawasan kampung dinaiki air. Rumah saya dan emak saya dinaiki air antara paras betis hingga pinggang.
“Kejadian banjir kali ini lebih teruk berbanding sebelum ini menyebabkan saya mengambil keputusan untuk berpindah ke PPS,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE