fbpx

Baru kahwin 6 bulan, pemilik kedai hardware kena culik di Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang ahli keluarga mangsa menunjukkan bekas lebam di bahagian punggung mangsa pada sidang media yang diadakan MHO berhubung sindiket pemerdangan manusia di Megan Avenue, Jalan Tun Razak, hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

PETALING JAYA – Seorang pemilik kedai alat perkakasan (hardware) di Kepong yang baharu sahaja enam bulan mendirikan rumah tangga kini kelam nasibnya selepas diperdaya sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar, baru-baru ini.

Bapanya yang dikenali sebagai Lai, berkata, pada 16 November lalu, anak lelakinya yang berusia 29 tahun itu, terdahulu ada memaklumkan sudah sampai di Bangkok kepada isteri (menantu Lai) yang kini hamil enam bulan anak pertama mereka.

“Anak saya pergi sana nak beli mercun untuk dijual di Malaysia. Apabila sampai di sana, dia beritahu ada naik sebuah kereta selama lima jam (dipercayai ke Myanmar).

“Setibanya di sana, dia dibawa menaiki sampan. Pada masa itu dia cuba larikan diri tapi dipukul teruk dan pengsan,” katanya pada sidang akhbar anjuran Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini, hari ini.

Tambah Lai, setelah sedar daripada pengsan, anaknya mendapati dirinya telah dikurung oleh sindiket berkenaan.

“Dia kena pukul lagi. Sampai sekarang dah seminggu dia tak ada hubungi saya atau isterinya,” ujarnya.

Sementara itu, seorang tukang masak di Kuala Lumpur dipercayai turut diperdaya sindiket pemerdagangan manusia di Thailand.

Ibu mangsa berkata, anaknya terdahulu memberitahu mahu pergi bercuti ke Thailand pada 18 November.

Mengulas lanjut wanita itu berkata, anaknya merupakan salah seorang daripada 12 rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan menjadi mangsa penipuan pemerdagangan manusia secara berkumpulan di Myanmar.

“Dua hari selepas itu anak saya ada telefon cakap dia kena culik. Dia juga kata kena seksa, kena gari dan gantung sambil berdiri selama dua hari. Saya dapat lihat punggung dan lutut dia cedera teruk akibat dipukul.

“Sindiket ada minta wang tebusan RM65,000. Saya pun pinjam kawan, jual emas dan guna wang simpanan lepas tu bayar mereka (sindiket) pada 18 November lepas,” ujarnya.

Namun katanya, sindiket berkenaan mungkir janji apabila gagal membebaskan anaknya walaupun bayaran telah dibuat.

“Sindiket setuju hantar anak ke sempadan Thailand tapi mereka tipu. Anak saya cakap dia dijual ke scammer yang lain. Selepas itu, sampai sekarang anak saya tak dapat dihubungi,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI