JAKARTA – Perbuatan seorang pembantu rumah di Bandung, wilayah Jawa Barat yang selamba mencuri barang kemas milik majikannya mengundang kecaman orang ramai, lapor portal berita Tribunnews semalam.
Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @mamanyadhips menunjukkan sejumlah barang kemas yang dicuri seperti gelang, rantai dan cincin.
Lebih mengejutkan apabila wanita itu sanggup menukarkan perhiasan tersebut dengan objek tiruan.
Majikan tersebut berkata, dia tidak menyangka pembantu rumah yang disayangi dan dianggap seperti ahli keluarganya tergamak bertindak sedemikian.
Rakaman itu mencatatkan lebih 10.9 juta tontonan dan menimbulkan kekecohan di ruangan komen.
“Ini salah satu punca kenapa saya tidak membenarkan pembantu rumah tinggal di kediaman!” marah seorang netizen.
“Dahsyat! Macam mana dia (pembantu rumah) boleh berfikir sampai ke tahap itu?” komen netizen lain. – AGENSI