TEXAS – Walaupun Max Verstappen berjaya menoktahkan gelaran dunia Formula Satu (F1) buat kali keempat berturut-turut, pasukan Red Bull Racing mengakui kebimbangan mengenai kemampuan mereka untuk menghadapi saingan musim depan.
Verstappen memastikan gelaran dunia 2024 miliknya di Grand Prix (GP) Las Vegas minggu lalu biarpun menamatkan perlumbaan di tempat kelima ketika saingan itu dimenangi George Russell dari Mercedes.
Bagaimanapun, kejayaan Verstappen itu tidak memberi keyakinan kepada Red Bull terutama kemampuan mereka bagi menghadapi musim 2025 berikutan kebangkitan pesaing lain terutama menerusi pelumba McLaren, Lando Norris.
Pengarah Teknikal Red Bull, Pierre Wache menjelaskan bahawa cabaran besar menanti mereka tahun depan kerana pasukan pesaing semakin pantas dan kompetitif.
“Saya tidak begitu yakin dengan musim 2025. Pasukan lain semakin pantas dan kami menjangkakan saingan sengit sepanjang musim.
“Jika terlalu yakin dalam dunia F1, kita akan kehilangan fokus. Sikap berhati-hati ini mendorong kami untuk bekerja lebih keras,” katanya.
Antara cabaran utama adalah memastikan jentera RB21 mampu mempamerkan prestasi baik di semua jenis litar.
“Matlamat utama kami untuk 2025 adalah memastikan jentera kekal konsisten di pelbagai jenis litar. Litar seperti di Las Vegas menunjukkan kami masih perlu memperbaiki banyak aspek,” ujarnya. – AGENSI28