GUA MUSANG – Polis menahan seorang lelaki dan merampas 400 kilogram daun ketum di tepi jalan Simpang Kampung Sungai Asap A di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, suspek berusia 26 tahun itu ditahan ketika sedang membawa daun ketum bernilai RM4,000 di dalam kereta jenis Proton Persona pada pukul 11.40 pagi.
Katanya, siasatan mendapati, lelaki itu memandu kereta tersebut dengan muatan daun ketum melalui Simpang Pulai, Ipoh ke Cameron Highlands dan Sungai Koyan sebelum melalui jalan Gua Musang.
“Anggota kereta peronda (MPV) cuba menahan sebuah kereta yang dipandu suspek selepas melihat ia dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Bagaimanapun, pemandu tidak mengendahkan arahan polis dan cuba memecut laju. Selepas hampir 20 kilometer, kereta itu akhirnya berhenti di tepi jalan dekat simpang Kampung Sungai Asap A,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di sini hari ini.
Menurut Choon Foo, pemeriksaan di dalam kereta itu membawa kepada penemuan bungkusan plastik berwarna hitam yang dipercayai mengandungi daun ketum.
Katanya, hasil siasatan mendapati, suspek sudah dua kali ditahan atas kesalahan sama sebelum ini apabila didapati mengedar daun ketum yang diambil dari sebuah negeri di utara.
Sementara itu, Choon Foo berkata, pihak polis berjaya merampas 360 kilogram daun ketum yang disembunyikan dalam sebuah kereta jenis Honda Civic kira-kira pukul 1.30 petang pada hari yang sama.
Katanya, kereta terbabit ditinggalkan di sebuah rumah kosong di Kampung Renok Baru di sini selepas pemandu kereta terbabit menyedari dia telah diintip anggota polis.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebanyak 36 plastik hitam dengan anggaran 360 kilogram daun ketum bernilai RM3,600.
“Pemandu kereta itu berjaya melarikan diri dan pihak polis masih mengesan suspek,” katanya.
Tambah Choon Foo, pengedar daun ketum sering menjadikan jalan Gua Musang sebagai laluan untuk memasarkan daun ketum di pasaran tempatan sebelum ia dihantar ke negara jiran.
Katanya, ini kerana mereka menganggap laluan di sini lebih selamat berbanding jalan lain untuk masuk ke Kelantan.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. – K! ONLINE