BARCELONA – Penyerang Barcelona, Robert Lewandowski menyertai Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi dalam senarai pemain yang menjaringkan 100 gol dalam saingan Liga Juara-Juara.
Pada aksi awal pagi semalam, bintang Poland itu menjaringkan dua gol untuk bantu Barcelona menang 3-0 ke atas Brest.
Bagaimanapun, pengendali Barcelona, Hansi Flick lebih selesa untuk menghamburkan pujian kepada seluruh pasukan yang sudah memainkan peranan penting untuk mengesahkan tiga mata kali ini.
“Lewandowski adalah pemain hebat dan saya gembira apabila dia jaringkan gol. Saya fikir dia sememangnya perlu jaringkan gol, namun lebih penting adalah usaha seluruh pasukan.
“Dia juga tahu dia sepatutnya jaringkan gol, tetapi bagi saya apa yang pasukan ini lakukan cukup mengagumkan,” katanya.
Satu lagi gol gergasi Sepanyol itu dihasilkan oleh Dani Olmo dan Flick menjelaskan kejayaan kali ini adalah reaksi positif daripada anak buahnya selepas kemarau kemenangan dalam dua aksi domestik.
“Kami patut dapatkan lebih banyak gol, namun saya cukup gembira dapat menang. Apa yang ditunjukkan kali ini agak baik selepas apa yang kami lalui sebelum ini,” ujarnya. – AGENSI