PETALING JAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) digesa untuk menyiasat dan mengkaji semula syarikat-syarikat insurans yang telah mengeluarkan notis kenaikan premium insurans sehingga 40 ke 70 peratus.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, BNM diharapkan tidak melepas tangan dengan memberi alasan perkhidmatan insurans adalah “business decision” oleh syarikat.
Beliau berkata, orang ramai yang mencarum insurans bukan kerana hanya mahu perkhidmatan swasta yang lebih baik tetapi munasabah kosnya.
“Dengan kenaikan premium insurans yang naik mendadak, kami mendapati bahawa ada pencarum sudah berhenti mencarum.
“Mereka sekarang terpaksa kembali ke hospital kerajaan. Ini secara tidak langsung menambah beban kepada hospital kerajaan dan golongan B40 menjadi mangsa kerana terpaksa menunggu lebih lama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu Tze Tzin berkata, beliau amat kesal membaca kenyataan oleh Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Dr Kuljit Singh semalam yang mempertahankan kenaikan premium insurans kesihatan antara 40 hingga 70 peratus sebagai tidak sangsi dan berpatutan.
“Ini amat dikesali, kerana beliau cuba menegakkan benang yang basah. Umum diketahui, kenaikan premium insurans kesihatan ada kaitan rapat secara langsung dan tidak langsung kenaikan Caj hospital swasta yang melambung tinggi dan tidak terkawal.
“Caj hospital swasta yang melonjak tinggi sudah menjadi bebanan yang tinggi kepada syarikat insurans dan kini mereka telah “passing the cost” kepada pencarum insurans daripada golongan M40 ke atas,” katanya. – KOSMO! ONLINE