PETALING JAYA – Ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) akan ditawarkan elaun secara harian bagi mengikuti program rehabilitasi selama 90 hari secara sukarela.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, elaun itu bagi memastikan ahli-ahli GISBH hadir bagi proses pemulihan tersebut dan dapat meneruskan kelangsungan hidup.
“Kita mempunyai modul komprehensif merangkumi aspek pendidikan, kewangan dan latihan kemahiran namun persoalannya bilangan tampil masih rendah.
“Namun, bagi anak-anak yang masih berada di rumah perlindungan kita teruskan persekolahan sekali gus memastikan mereka dapat mengikuti ajaran Islam sebenar,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Azli Yusof (PN-Shah Alam) yang ingin tahu tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk memulihkan akidah pemimpin dan pengikut GISBH yang didakwa terpesong dari ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sementara itu, Zulkifli berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut akan mengadakan program pemulihan akidah secara khusus kepada mereka yang sedang ditahan.-KOSMO! ONLINE