KUALA LUMPUR – Selepas lebih enam tahun naik turun mahkamah, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah memanjatkan rasa syukur apabila dilepas tanpa dibebaskan daripada enam tuduhan pecah amanah RM6.6 bilion.
“Syukur, selepas enam tahun dua bulan, akhirnya selesai,..mahkamah membuat keputusan yang tepat. Saya yakin tiada kes terhadap saya kerana semua dilakukan mengikut prosedur ,” katanya.
Mohd. Irwan berkata demikian ketika selepas prosiding apabila mahkamah membenarkan permohonan notis usulnya dan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dilepas tanpa dibebaskan.
Sementara itu, peguam belanya, Datuk Seri K.Kumaraendran berkata, beliau gembira dengan keputusan itu dan berharap pihak pendakwaan tidak meneruskan kes tersebut.
“Ini adalah keputusan yang tepat kerana anak guam saya sudah menderita selama enam tahun yang lalu untuk menunggu perbicaraan,” katanya.
Seorang lagi peguam bela, Lavinia Kumaraendran berkata ketidakadilan itu berpunca daripada pihak pendakwaan yang tidak memberikan dan menyerahkan dokumen selama enam tahun.
Terdahulu Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas tanpa membebaskan Najib dan Mohd. Irwan atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan International Petroleum Investment Company (IPIC).
Mahkamah memutuskan demikian selepas membenarkan notis usul yang dikemukakan kedua-dua tertuduh.
Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Muhammad Jamil berkata berdasarkan fakta dan hal keadaan kes, mahkamah menggunakan kuasa sedia ada, untuk tertuduh pertama (Najib) dan tertuduh kedua (Mohd. Irwan) dilepaskan tanpa dibebaskan daripada keenam-enam pertuduhan tersebut. – KOSMO! ONLINE