fbpx

Sukar laksana sistem kutipan tol MLFF – Alexander

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander (dua dari kiri) ketika Majlis Penyampaian Surat Setuju Terima kepada dua syarikat terpilih di Menara JKR hari ini.

KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengakui, pelaksanaan kutipan tol menggunakan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) adalah agak sukar.

Beliau berkata, tidak timbul sebarang isu MLFF itu dipolitikkan mahupun dipolemikkan kerana ada juga di antara syarikat konsesi lebuh raya yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan sistem itu.

“Pihak kementerian perlu mendengar segala pandangan termasuk keluh kesah syarikat konsesi bagi mencari penyelesaian tuntas.

“Malaysia agak kompleks berbanding negara lain kerana 33 lebuh raya yang kita ada kebanyakan, majoritinya dibangunkan pemaju dan mereka ini mendapat dana kewangan dari swasta.

“Mereka ada perjanjian untuk mengutip tol dan sebagainya, pelaksanaan MLFF ini perlu menggabungkan mereka agar bersetuju untuk berada dalam satu lagi konsesi yang mengutip tol bagi pihak mereka. Di sini tidak ada persetujuan pandangan mereka,” jelasnya pada sidang akhbar di Menara Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan Surat Setuju Terima (SST) dan pelantikan pengarah bagi projek pembinaan Kompleks Gunasama Persekutuan (BGP) Kuching serta pembinaan Bare Base Tentara Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Lapangan Terbang Bintulu di Menara Kerja Raya.

Tambahnya, Malaysia agak lewat untuk melaksanakan MLFF jika dibandingkan dengan negara jiran lain seperti Singapura, Indonesia dan Thailand yang telah melaksanakan MLFF

“Kita agak lewat, kerana pada mulanya kita difahamkan ada pihak tidak berapa yakin dan berminat. Selepas itu, ada sebuah syarikat dalam dua tahun lebih yang lalu kemukakan cadangan di mana kerajaan ada tandatangan. Akhirnya dikemukakan Proof of Concept (POC) untuk dipertimbangkan.

“Oleh kerana perjanjian itu sampai bulan Disember ini, kita di peringkat kementerian, kita biarkan dulu sehingga kontrak ini tamat

“Perlulah kita lihat bagaimana nak perhalusi idea-idea yang lebih baik atau pun kaedah yang kerajaan atau Kementerian Kerja Raya (KKR) hendak melaksanakan MLFF ini tanpa ada masalah,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI