KUALA LANGAT – Perumahan flat khususnya di seluruh negara akan terus digempur selepas didapati menjadi koloni pendatang asing tanpa izin (PATI).
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Jafri Embok Taha berkata, pihaknya mempunyai senarai kawasan ‘hot spot’ dengan perancangan akan dibuat sebelum sesuatu serbuan dilaksanakan dengan jayanya.
Katanya, kerjasama sentiasa dilakukan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, Polis Diraja Malaysia termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi membanteras PATI.
“Operasi kita tak pernah putus, setiap hari kita buat namun dalam skala kecil dan sederhana.
“Untuk skala besar adalah libatkan pelbagai agensi seperti malam tadi (flat Pandan Mewah) dan akan buat dari masa ke semasa. Kita tak berhenti.
“Polis ada senarai, kita pun ada senarainya. Kita tahu di mana tempat mereka dan susun jadual (operasi), kehadiran kita itu penting,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pejabat Imigresen Cawangan Kuala Langat di sini, hari ini.
Semalam, Jabatan Imigresen menggempur Flat Pandan Mewah di Ampang dekat sini dan memeriksa 400 individu keseluruhannya.
Hasil serbuan selama lima jam bermula pukul 6 petang itu berjaya menahan 119 PATI berusia 18 hingga 50 tahun.
Mengulas lanjut, Jafri menegaskan permasalahan PATI seperti sedia maklum wujud di seluruh negara bermula di Sabah hingga Perlis.
“Dalam masa sama, kita tidak boleh selesaikan semua namun kita sentiasa mengambil tindakan berterusan terhadap kawasan-kawasan yang wujudnya koloni ini,” jelasnya.
Ketika mengulas mengenai pejabat Imigresen Cawangan Kuala Langat itu, Jafri berkata, pengoperasianya mampu mengeluarkan sehingga 100 pasport dalam sehari seterusnya memudahkan masyarakat setempat seterusnya dapat mengurangkan kesesakan di pejabat Imigresen seperti Kelana Jaya, Shah Alam dan Petaling Jaya.
“Kita maklum di Kuala Langat ini penduduknya lebih kurang 300,000 kita jangka akan ada banyak permohonan visa terutama untuk sektor perladangan di sini.
“Di sini juga kita dapat pendekkan tempoh untuk kita siapkan permohonan pasport dalam masa sejam atau lebih mereka dah boleh dapatkan pasport mereka,” katanya.- KOSMO! ONLINE