KUALA LANGAT – Motif peribadi atas urusan perniagaan dikatakan menjadi punca sekumpulan 16 lelaki menyamun barangan kilang Telok Panglima Garang di sini, baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mohd. Sufian Amin berkata, siasatan mendapati kumpulan suspek telah membayar sejumlah wang RM400, 000 untuk pembelian barangan logam kepada penyewa kilang warga China.
Katanya, bagaimanapun pengurusan kilang tersebut dikatakan gagal menyediakannya selepas menerima wang tersebut.
“Kumpulan suspek yang terlibat ini dikatakan sudah membayar sejumlah wang dan mereka juga ada bagi kita bukti.
“Ia bukan modal namun lebih kepada perniagaan. Suspek beranggapan pemilik menipu dia. Bagi saya, suspek buat tindakan sendiri. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Kosmo! pada 20 November lalu melaporkan seramai 16 lelaki termasuk dua warga China dicekup selepas terbabit dalam kes samun barangan kilang di Telok Panglima Garang di sini, baru-baru ini.
Kesemua suspek berusia 30 hingga 50 tahun itu ditangkap kira-kira pukul 3.30 petang, 9 November lalu.
Kata Mohd. Sufian, kumpulan suspek juga bukan kongsi gelap sebaliknya lebih kepada ajakan rakan-rakan dalam kumpulan itu.
Tegas beliau, dua warga China yang ditahan pula lebih berperanan sebagai jurubahasa ekoran dialek digunakan penyewa kilang itu.
“Malah, pasport bagi kedua-dua warga China itu pun masih lagi sah,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan salah seorang suspek yang memiliki parang telah dituduh mengikut Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Dalam perkembangan berlainan, Mohd. Sufian menjelaskan dendam menjadi punca seorang lelaki asing mati ditikam di bahagian rusuk dengan menggunakan pisau selepas bergelut di tepi jalan di Telok Panglima Garang di sini, pada 19 November lalu.
“Berdasarkan siasatan terhadap tujuh individu yang direman sebelum ini turut menjerumus kepada suspek utama kes ini.
“Kita akan kesan dan tangkap suspek utama yang juga warga asing dalam masa terdekat,” katanya. – KOSMO! ONLINE