PETALING JAYA – Kerajaan tidak bercadang untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau keberkesanan penyaluran bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pemantauan penyaluran bantuan masih dilakukan secara pentadbiran dan audit oleh KPWKM sendiri.
“Tiada jawatankuasa, cuma pemantauan dari segi pembaharuan sentiasa dilakukan.
“Misalnya, mereka yang kita rasa tidak lagi perlu menerima, sudah meninggal tapi masih menerima. Ini pernah berlaku, jadi inilah yang kita lakukan untuk memastikan pemantauan itu sentiasa dilakukan” katanya ketika di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Kesavan Subramaniam (PH-Sungai Siput) mengenai keperluan Kementerian menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau sistem penyaluran bantuan.
Sementara itu, menjawab soalan Syed Saddiq (MUDA – Muar) berhubung sama ada kerajaan bercadang menaikkan siling bagi pendapatan isi rumah pemohon bantuan JKM, Nancy berkata, JKM mengamalkan saluran bantuan berasaskan kelayakan dan keperluan (means tested).
“Suka saya tegaskan sekali lagi bahawa JKM mengamalkan means test dalam menilai setiap permohonan bantuan kebajikan.
“Langkah itu agar setiap kes dikendalikan dengan mengambil kira keadaan sebenar serta gambaran yang lebih meluas seperti faktor ekonomi, lokaliti keupayaan (OKU, pesakit terlantar) dan sebagainya dan bukannya hanya melihat dari segi jumlah pendapatan mereka semata-mata,” katanya.
Jelasnya, pada masa ini, JKM mengguna pakai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sebagai
salah satu syarat asas kelayakan permohonan bantuan kebajikan.
“Mulai Januari 2024, JKM telah mula mengguna pakai PGK yang baharu iaitu PGK 2022 dengan
nilai ambang RM1,198.
“Dalam proses semakan semula dan pengemaskinian PGK 2022 ini, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) iaitu agensi di bawah seliaan Kementerian Ekonomi, telah melaksanakannya bersekali dengan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (Household Income and Expenditure – HIES) dan Survei Kemudahan Asas (BA),” katanya. – KOSMO! ONLINE