SEREMBAN – Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak satu daripada dua representasi yang dikemukakan oleh penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias berkaitan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Seremban.
Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes di hadapan Hakim Datin Surita Budin di sini hari ini.
Rasyidah Murni berkata, representasi melibatkan mangsa lelaki berusia 17 tahun ditolak AGC dan akan diteruskan untuk perbicaraan dengan pertuduhan asal, manakala representasi bagi mangsa lelaki berusia 16 tahun 10 bulan telah diterima.
Pada prosiding hari ini, peguam Mohamad Zahid Ahmad dan Fahmi Adilah yang mewakili PU Azman, 43, memohon tarikh singkat kepada mahkamah bagi berbincang dengan anak guam tentang pendiriannya berhubung keputusan representasi tersebut.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 Disember depan untuk sebutan bagi status kes tertuduh di Penjara Kajang.-KOSMO! ONLINE