PETALING JAYA – Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong memaklumkan sebanyak 799,000 kereta terjual di negara ini tahun lalu.
Beliau berkata, pasaran kenderaan Malaysia besar dan pembangunan industri automotif rancak dengan kenderaan dipasang di negara ini yang berharga di bawah RM100,000 meningkat.
“Pasaran kereta Malaysia besar, tahun lepas telah jual 799,000 buah kereta berbanding dengan Indonesia, mereka pasaran paling besar dengan populasi sangat besar tapi Indonesia hanya menjual 1.1 juta kereta tahun lepas,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Chin Tong berkata demikian ketika menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka), Poay Tiong yang bertanya apakah langkah-langkah kerajaan menggalakkan para pemain industri tempatan untuk mempertingkatkan usaha mengeluarkan kenderaan elektrik bagi memenuhi permintaan tempatan terhadap kenderaan elektrik bagi mencapai sasaran SDG 2050.
Dalam pada itu, Chin Tong berkata, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk menggalakkan syarikat tempatan mempertingkatkan usaha mengeluarkan kenderaan elektrik bagi menyokong halatuju pembangunan industri automotif tempatan.
“Antara inisiatif-inisiatif berkaitan fiskal yang ditawarkan oleh kerajaan merangkumi pengecualian sepenuhnya duti import dan eksais untuk EV jenis CBU import sehingga 31 Disember 2025 serta pengecualian sepenuhnya duti import, eksais dan cukai jualan untuk EV yang dikeluarkan dalam negara sehingga 31 Disember 2027.
“Selain itu, pemberian pengecualian cukai pendapatan (Income Tax Allowance (ITA) / Pioneer Status (PS)) untuk syarikat pengeluar kenderaan cekap tenaga (Energy Efficiency Vehicle – EEV) termasuk EV dan komponen kritikal berkaitan,” katanya.
Katanya kerajaan turut memberikan pengecualian cukai jalan bagi pengguna EV sehingga 31
Disember 2025 dan pemberian Green Investment Tax Allowance (GITA) kepada Charging Point Operator (CPO) yang memenuhi kriteria galakan cukai untuk pengecualian cukai dalam
bentuk Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus bagi tempoh lima tahun. – KOSMO! ONLINE