KUALA LUMPUR – Sebanyak 28,377 kes jenayah komersial direkodkan di seluruh negara setakat minggu ke-47 tahun ini, dengan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM2.5 bilion kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.
Beliau berkata, jumlah kes tersebut bersamaan 86 kes sehari dengan kerugian harian dianggarkan RM7.6 juta.
“Secara perbandingan, jumlah kes menunjukkan penurunan lima peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 29,829 kes.
“Bagaimanapun, nilai kerugian meningkat sebanyak 37 peratus berbanding RM1.8 bilion yang dicatatkan pada 2023,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Ramli berkata sebanyak 12,805 kertas siasatan iaitu 45 peratus daripada jumlah kes, telah berjaya dituduh di mahkamah setakat ini.
Jelasnya, peratusan ini lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu yang merekodkan 42 peratus atau 12,565 pertuduhan.
“Peningkatan kadar pertuduhan ini menunjukkan keberkesanan usaha PDRM dalam membanteras jenayah komersial serta meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap kemampuan pihak berkuasa,” katanya.
Ramli menekankan, kerjasama aktif daripada masyarakat adalah kunci dalam memerangi jenayah komersial.
“Alhamdulillah, statistik ini menunjukkan peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat. Kita perlu terus memastikan mesej pencegahan jenayah dan maklumat penting dapat disebarkan secara meluas agar persekitaran yang selamat dapat diwujudkan,” ujarnya.
Mengulas mengenai pewartaan pindaan Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah, Ramli berkata perkembangan baharu itu diharap menjadi amaran kepada masyarakat agar tidak terbabit dalam kegiatan keldai akaun.
“Berkuatkuasa 30 Oktober lalu, pegawai polis yang berpangkat tidak kurang daripada Sarjan diberikan kuasa untuk menyekat transaksi mencurigakan di mana-mana bank atau institusi kewangan.
“Peruntukan baharu ini dinyatakan di Seksyen 116D Kanun Tatacara Jenayah yang telah diluluskan oleh Dewan Negara pada Julai dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada September lalu,” katanya.
Tambah Ramli, bermula 30 Oktober lalu juga pindaan Kanun Keseksaan atau Akta 574 diwartakan dan berkuat kuasa merangkumi empat seksyen iaitu Seksyen 424A Kanun Keseksaan, Seksyen 424B Kanun Keseksaan, Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 424C(2) Kanun Keseksaan.
Selain itu, Seksyen 424D Kanun Keseksaan iaitu peruntukan bagi takrif ‘institusi kewangan’ dan ‘instrumen pembayaran’ dalam konteks seksyen baharu 424A, 424B dan 424C.
Tambah Ramli, melalui pindaan ini, jika didapati bersalah memiliki kad ATM orang lain mengikut Seksyen 424A Kanun Keseksaan, boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak kurang enam tahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Mengikut Seksyen 424B Kanun Keseksaan pula, mereka yang menjadi pemilik akaun keldai boleh dihukum denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya.
“Melalui penguatkuasaan undang-undang baharu ini, hukuman yang diperuntukan adalah lebih tinggi dan lebih tegas.
“Justeru, orang ramai diingatkan lebih berwaspada dan berhati-hati. Jangan sesekali memberikan kebenaran orang lain menggunakan akaun anda atas apa-apa alasan sekalipun.
“Kerana jika terbabit dengan kegiatan keldai akaun, hukuman yang menanti adalah berat,” katanya.-KOSMO! ONLINE.