PETALING JAYA – Langkah-langkah Kerajaan menggalakkan para pemain industri tempatan untuk mempertingkatkan usaha mengeluarkan kenderaan elektrik antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) bertanyakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berhubung perkara itu dalam sesi soal jawab lisan.
Selain itu, Azli Yusof (PH-Shah Alam) meminta Perdana Menteri menyatakan usaha kerajaan dalam memulihkan akidah pemimpin dan pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang terpesong daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Azli juga ingin tahu mengenai tindakan diambil kerajaan untuk membela kebajikan keluarga dan memastikan kelangsungan pendidikan anak-anak yang ditinggalkan GISBH berikutan operasi Op Global.
Pada sesi sama, Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) meminta Perdana Menteri menyatakan usaha dan inisiatif bagi mengatasi masalah jenayah penipuan dalam talian yang telah menyebabkan kerugian lebih RM2.6 bilion dalam tempoh kurang tiga tahun selain tindakan penguatkuasaan undang-undang. – KOSMO! ONLINE