PETALING JAYA – Seorang penghantar makanan, Abdul Azim Hasmandi, 28, mencuri perhatian ramai apabila kelibatnya dilihat sering berbaring di sebelah kubur ibunya.
Tindakan itu, menurut Abdul Azim, bukan sekadar luahan rindu, tetapi cara untuk menghidupkan semula memori indah bersama arwah ibunya yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 7 Jun lalu.
“Dulu di rumah, saya selalu baring kacau-kacau umi sebab dia ada depan mata. Sekarang pun saya nak baring dengan dia, cuma dipisahkan oleh alam lain. Kubur dah jadi rumah kedua saya setelah umi pergi,” katanya ketika ditemubual.
Abdul Azim, anak kedua daripada empat beradik, mengakui setiap kali berbaring di pusara ibunya, dia akan mengimbau kenangan manis bersama arwah.
“Saya terkenang waktu umi suruh saya ambil daun pisang, pasang payung untuk berniaga pagi, atau beli santan. Saya juga suka kacau umi waktu dia sibuk memasak untuk jual. Lepas balik kerja atau habis main badminton, saya selalu makan malam dengan umi sambil luah apa-apa yang terbuku,” katanya.
Abdul Azim juga mendedahkan satu rutin istimewa setiap kali dia menziarahi kubur ibunya.
“Setiap kali saya datang, saya akan bawa seikat teh, sebab itu kegemaran umi. Dia selalu suruh beli waktu pagi sebelum saya pergi kerja. Kenangan itu paling saya tak boleh lupa,” tambahnya.
Kehilangan ibunya, yang berlaku secara tiba-tiba akibat kemalangan motosikal, meninggalkan kesan mendalam kepada Abdul Azim dan keluarganya.
“Kami semua tak sempat jumpa arwah buat kali terakhir. Saya sampai di tempat kejadian pun dah lewat. Saksi telefon abi guna telefon umi. Mujur saya dah buang kata kunci telefon umi lama dulu, rupanya ada sebab. Waktu itu, saya hanya sempat merangkul dan meriba umi sambil menahan air mata,” luahnya.
Kini, Abdul Azim tinggal bersama ayah dan adik-beradiknya dengan masing-masing cuba meneruskan kehidupan tanpa insan tersayang di sisi.
Sebagai nasihat buat orang ramai, Abdul Azim menyeru agar semua anak menghargai ibu bapa selagi mereka masih hidup.
“Jangan pernah berhenti membuat mereka senyum. Belajarlah untuk menggembirakan mereka. Bila mereka sudah tiada, segala senyuman dan gelak tawa akan bertukar menjadi trauma yang tiada penawar,” katanya.
Terdahulu, penghantar makanan ini tular di media sosial apabila gambarnya berbaring di pusara ibunya dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok. Hantaran tersebut meraih ribuan tontonan, menyentuh hati pengguna media sosial yang turut mendoakan kekuatan buat Abdul Azim dan keluarganya. – KOSMO! ONLINE