fbpx

‘Tanggung sendiri kalau nak jadi lembut, tukar perwatakan di medsos’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hafiz berpendapat, konten seperti lelaki menyerupai perempuan adalah tanggungjawab individu yang melakukan perbuatan itu sendiri di media sosial.

PETALING JAYA – Penyanyi lagu kerohanian, Hafiz Hamidun berpandangan setiap kandungan di gelanggang media sosial yang menjurus ke arah perkara negatif seperti lelaki menyerupai perempuan tidak perlu dibawa ke dunia sebenar.

Hafiz atau nama sebenarnya, Muhammad Hafiz Hamidun cakna zaman sekarang sememangnya masyarakat tidak boleh lari daripada lambakan kandungan sedemikian yang dimuat naik terutama golongan muda zaman sekarang namun, ada batasan yang tidak perlu dilangkaui.

“Apa yang saya perhatikan sejak dua hingga tiga tahun belakangan ini terutamanya di platform TikTok, masyarakat terima sahaja siapa kita.

“Sama ada hendak jadi lembut, tukar perwatakan ke, pakai tudung atau tidak termasuk menggunakan ‘filter’ jantina yang berlawanan, nampaknya masyarakat menerima. Tetapi hakikatnya, masyarakat kita suka sebagai hiburan sahaja.

“Bagaimanapun, untuk membawa hiburan sebegitu ke dunia luar dan mahu tampil sebagai penghibur ‘mainstream’ masyarakat kita belum menerima. Jadi, tindakan seseorang ke arah itu, dia sendiri perlu tanggung,” katanya pada pra-pelancaran album terbaharunya berjudul Haramain di Hotel Royale Chulan Damansara di sini, semalam.

Hafiz turut menerima penghargaan di atas pencapaian ‘111 juta digital strim’ hasil penjualan keseluruhan penstriman digital daripada Sony Music. – MOHD. FIRDAUS. MOHD. JOHARI

Hafiz, 40, berkata, biarpun diterima sebagai hiburan, tetapi masyarakat tetap melihat perkara itu sebagai satu perkara negatif yang tidak sepatutnya menjadi ikutan atau amalan.

“Walaupun orang ramai suka dengan kandungan sebegitu sehingga dapat komen bertalu-talu yang membuatkan mereka hendak buat lagi, perkara itu tetap perlu ditanggung.

“Tetapi sebaik kita bawa perwatakan (konten) begitu ke dunia luar, masyarakat kita tak terima. Masyarakat kita masih ada sensitiviti.

“Saya tak mahu menilai sesuatu kandungan di media sosial itu baik atau tidak, tapi mereka perlu menanggung sendiri. Jangan salahkan netizen andai mereka kecam apa dibuat,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Hafiz tampil dengan album terbaharu berjudul Haramain yang diinspirasikan daripada perjalanan ke dua kota terpenting umat Islam iaitu Mekah dan Madinah.

Album Haramain memuatkan sepuluh trek iaitu Batu Hitam, Zamzam, Raudah, Kota Cinta, Jabal Qubais, Arafah, Baqi’, Raudah (slow version), Srikandi Solehah dan Kiswah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI