PETALING JAYA – Pasukan hoki remaja kebangsaan memulakan kempen Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia 2024 dengan garang apabila membenam China 5-2 dalam aksi pembukaan yang berlangsung di Stadium Hoki Oman, Muscat, sebentar tadi.
Pada awal perlawanan, skuad Young Tigers bermula sedikit goyah apabila China terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit kelima menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Wang Yubo.
Bagaimanapun, gol pembukaan tersebut ternyata tidak melemahkan semangat juang pemain negara untuk bangkit apabila kapten pasukan, Che Nur Aqirullah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-17, menjadikan kedudukan 1-1.
Bersambung babak kedua, Young Tigers tampil lebih bertenaga apabila Muhammad Addy Jazmi Jamlus meletakkan Malaysia di depan dengan jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-34, diikuti jaringan Muhammad Khairul Norizam pada minit ke-44.
Skuad negara terus agresif melakukan serangan apabila Naaveenash Panicker terus menambah derita China dengan jaringan keempat pada minit ke-45.
Walaupun China merapatkan jurang menerusi Zhang Jialiang seminit kemudian, usaha mereka dipadamkan oleh Muhammad Danish Danial Abdul Wahab yang menyempurnakan satu lagi pukulan sudut penalti pada minit ke-59.
Dengan kemenangan tersebut, skuad muda negara perlu melakukan persiapan apabila mereka dijadualkan menentang tuan rumah, Oman, dalam aksi kedua malam esok. -KOSMO! ONLINE