AMPANG – Anak penyanyi tempatan antara enam individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan supercar jenis Ferrari di sebuah pusat cuci kenderaan di Hulu Kelang di sini pada 17 November lalu.
Seorang ahli perniagaan berusia dalam lingkungan 50-an yang juga pemilik Ferrari tersebut membuat laporan polis selepas kenderaannya dilaporkan hilang dipercayai dicuri.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM300,000.
“Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya yang menjalankan siasatan lanjut kemudian menahan empat lelaki tempatan berusia 23 hingga 33 tahun di sekitar daerah ini pada 17 November lalu.
“Tangkapan susulan dibuat tiga hari kemudian (20 November) ke atas seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun sebelum Ferrari tersebut ditemui di tempat letak kereta sebuah kediaman di Taman Tunku di sini, Sabtu lalu.
“Walau bagaimanapun, nombor pendaftaran kenderaan itu ditukar kepada nombor pendaftaran palsu,” katanya.
Tambah beliau, seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Kereta (Ferrari) dibawa lari oleh bekas pemandu yang mendakwa tidak dibayar gaji namun kita masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Hussein memberitahu, pihaknya merampas pelbagai barangan antaranya lapan buah telefon bimbit, kunci Ferrari dan Kia, beg silang, pasport serta tali lanyard bersambung pisau berhulu.
Turut dirampas kereta Ferrari yang dilarikan, Naza Suria, BMW X5, BMW, alat kawalan jauh kereta dan sebungkus plastik lutsinar tulisan ‘Diamond’.
Tambah Hussein, tiga suspek dibebaskan dengan jaminan polis, manakala dua lagi direman sehingga esok dan seorang lagi sehingga 3 Disember ini bagi membantu siasatan.
“Kita sedang giat mengesan rakan penjenayah yang masih bebas,” katanya yang memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE.