fbpx

Penampilan penting tapi kalau tak pandai berlakon susah – Erra Fazira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Erra berpendapat bakat dan rupa paras perlu jalan seiring untuk terus berdaya maju dalam dunia lakonan.

PETALING JAYA – Aktres berpengalaman, Erra Fazira menyifatkan paras rupa tidak mencerminkan  seseorang pelakon itu memiliki kualiti lakonan bermutu tinggi.

Erra atau nama sebenarnya Fazira Chek Wan, 50, berkata, biarpun penampilan pelakon sangat penting, tetapi bakat lakonan tetap menjadi keutamaan untuk bertahan lama dalam industri.

“Kita tidak mahu melahirkan sampah sampah dalam industri. Memang benar penampilan itu sangat penting, tetapi kalau tidak pandai berlakon susah juga.

“Artis perlu ada pesona dan tidak dinafikan perkara itu sebagai salah satu cara untuk bertahan lama dalam industri.

“Apabila sudah memiliki kelebihan sebegitu, pelakon itu perlu meningkatkan kualiti lakonan agar kecantikan atau ketampanan yang ada dapat bergerak seiring,” katanya.

Erra yang meluahkan pandangan demikian ketika menjadi panel dalam forum Lihatlah dunia, Trofi FFM (Festival Filem Malaysia) Merubah Hidupku anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) minggu lalu.

Tambah pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik FFM15 dan FFM18, selain memperlihatkan hasil lakonan yang baik, penjagaan penampilan juga penting.

“Sebagai pelakon kita memang perlu memberikan hasil kerja terbaik. Tetapi dalam masa sama perlu menjaga penampilan juga. Walaupun sudah berusia, tetapi kita perlu menjaga penampilan.

“Bagi saya setiap pelakon itu mempunyai aura tersendiri. Jadi kita perlu memastikan kualiti lakonan dan penampilan dapat bergerak seiring,” katanya.

Untuk info, selain Erra forum anjuran Finas itu turut menampilan barisan panel terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib bersama pelakon Datuk Rosyam Nor, Fauziah Ahmad Daud dan Maya Karin.

Sementara aktres Ellie Suriaty yang pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM16 bertindak sebagai moderator.

Forum tersebut bagi membincangkan hala tuju karya tempatan untuk bersaing dengan filem antarabangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI