PETALING JAYA – “Ini penganiayaan, insya-Allah kebenaran akan terbukti.”
Demikian luahan usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Otman, 53, ketika menjelaskan kejadian yang menimpanya ketika ini menerusi satu klip video di laman Instagram.
Malah kata Vida, kepada sesiapa yang mahu tahu tentang kisah yang menimpa dirinya itu, beliau akan menceritakannya dalam satu siaran langsung.
Vida menambah apa yang berlaku terhadap dirinya ketika ini adalah satu ujian daripada Allah untuk dia sekeluarga.
“Pasal kisah viral dan sita-sita ini saya anggap ia ujian walaupun benda ini aib, saya yakin dengan ujian ini.
“Ada hikmah besar dan kekayaan lebih besar dan anugerah yang besar Allah nak beri Subahanallah,” katanya.
Pada masa sama, Vida berterima kasih kepada mereka yang telah mendoakannya sekeluarga serta sentiasa memberi sokongan terhadap dirinya serta produk-produknya.
“Assalamualaikum semua, terima kasih yang doakan saya yang beri kata semangat kepada saya dari belakang.
“Yang tak putus-putus doaakan saya dan keluarga semoga dilindungi, dirahmati dan sokongan kepada keluarga termasuk Cik B, Kacak serta produk-produk saya,”ujarnya.
Terdahulu, Vida didakwa gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan kepada sebuah syarikat kontraktor pembinaan, Ah Design Communication sebanyak RM1,060,285 pada tahun 2018.
Sehubungan itu, empat kereta mewah antara barangan miliknya yang disita di kediamannya di Meru, Ipoh setelah gagal melunaskan tunggakan bayaran ubah suai bangunan kilang miliknya.
Empat kereta yang disita ialah dua buah Vellfire, satu Toyota Grand Hiace dan sebuah BMW X7, selain semua barangan di dalam rumahnya.
Perintah penyitaan itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Ipoh, Anis Hanini Abdullah selepas membenarkan permohonan Mohammad Taufik Kamarul daripada Ah Design Communication Sdn. Bhd.- KOSMO! ONLINE