KUALA LUMPUR – Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) raih kemenangan ketiga di pentas Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini tidak kesampaian apabila tewas tipis 0-1 kepada Shandong Taishan FC di Stadium Olimpik Jinan, sebentar tadi.
Selain kelincahan Arif Aiman Hanapi, penjaga gol tuan rumah, Wang Dalei juga antara pemain yang menyerlah sepanjang perlawanan khususnya ketika melakukan sekurang-kurangnya dua aksi menyelamat berkualiti tinggi.
Terdahulu, JDT memulakan perlawanan dengan agak positif dimana wakil negara itu menguasai lebih 63 peratus penguasaan di babak pertama dan berjaya mencipta beberapa peluang terbaik untuk menghasilkan jaringan.
Bintang import Harimau Selatan, Jorge Obregon menjadi pemain paling kecewa kerana gagal menyempurnakan peluang terhidang pada minit ke-21 manakala jaringannya pada minit ke-43 dibatalkan kerana dikesan berada di kedudukan offsaid.
Ketangkasan Dalei nyata mencuri perhatian khususnya menerusi tindakan berani ketika menafikan rembatan deras Arif Aiman dari jarak dekat pada minit ke-29.
Kurang seminit selepas aksi bersambung, tuan rumah sepatutnya mampu berada di depan namun tampanan dilakukan Bi Jinhao di depan gawang yang sudah terbuka luas melambung tinggi melepasi palang gol.
Minit ke-63, Dalei sekali lagi menjadi topik perbincangan apabila sempat menghulurkan tangan kanannya bagi menepis percubaan Bergson Da Silva.
Kemasukan bintang import dari Brazil, Cryzan nyata menjadi percaturan berbaloi buat tuan rumah apabila umpanan menariknya pada minit ke-68 berjaya disudahkan dengan sempurna oleh seorang lagi pemain gantian, Zeca.
Selasa ini, Harimau Selatan akan meneruskan saingan menentang gergasi Thailand, Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim. – KOSMO! ONLINE