MATA bagaikan terpukau saat melangkah masuk ke Farm In The City dengan pelbagai haiwan yang menyambut kedatangan pengunjung.
Bukan itu sahaja, suasana menghijau dan bunyi ‘suara alam’ pula cukup menenangkan jiwa sekali gus dapat meredakan tekanan.
Lebih menggembirakan melihat keletah kanak-kanak yang cukup teruja memberi makan dan menyentuh haiwan-haiwan.
Perkara itu diakui oleh salah seorang pengunjung, Yanty Ridzuan, 38, yang memberitahu sangat seronok membawa anak-anak ke Farm In The City dan ini merupakan kunjungan kali kedua.
“Saya membesar di Kuala Lumpur begitu juga suami, maka kami dan anak-anak tidak berpeluang melihat haiwan-haiwan seperti kambing dan lembu yang banyak berkeliaran di kampung.
“Sehubungan itu, tempat ini memberi peluang kepada kami merasai pengalaman tersebut dan mengenali pelbagai jenis haiwan tempatan serta luar negara,” katanya ketika ditemui Horizon di Farm In The City, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.
Tambah ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, Farm In The City sangat selesa yang menjadi lokasi santai keluarga terbaik dan pada masa sama dapat menambah pengetahuan seisi keluarga mengenai haiwan-haiwan.
Yanty turut memberitahu, aktiviti tersebut juga penting untuk menerbitkan rasa cinta terhadap haiwan dalam diri anak-anak sejak usia muda dan menjadikan mereka manusia yang penyayang.
Sementara itu, Eksekutif Jualan dan Pemasaran Farm In The City, Nuratikah Arshad, berkata, tempat itu telah beroperasi sejak lapan tahun lalu yang bertujuan memberi peluang kepada masyarakat untuk mendekati haiwan dan alam sekitar.
“Ia merupakan hasrat besar pemilik tempat ini iaitu Datuk Allan Phoon untuk memberi pengalaman kepada orang ramai bermain dengan haiwan, menyentuhnya dan memberi makan.
“Ketika zaman kanak-kanaknya, beliau suka bermain dengan haiwan di kawasan kampung, tetapi kini kebanyakan anak-anak dibesarkan di bandar-bandar dan mereka langsung tidak berpeluang atau mengenali binatang dengan lebih dekat,” ceritanya yang berasal dari Bukit Katil, Melaka.
Disebabkan itu, lokasi tersebut bukan sahaja menempatkan binatang dari luar negara tetapi juga haiwan tempatan yang sering dilihat di kawasan kampung seperti kambing, lembu dan kerbau.
Farm In The City yang berkeluasan tujuh ekar (2.8 hektar) itu mempunyai lebih 100 spesies haiwan yang berasal dari pelbagai negara di Eropah dan Asia Tenggara.
Antara haiwan tersebut adalah seperti alpaka, rakun, tupai Himalaya, kura-kura panjang, kura-kura aldabra, marmoset, lembu Australia, itik mandarin, ular sawa batik, buaya, pelbagai jenis burung dan ikan, kuda falabela, penyu, arnab, memerang serta landak.
Menariknya, Farm In The City turut menempatkan haiwan yang sangat unik iaitu ular sawa batik terpanjang di dunia, buaya terkecil, tikus terbesar dan lain-lain.
Jelas Nuratikah, tempat itu turut berperanan sebagai lokasi pembelajaran dan konservasi yang melakukan usaha pembiakan haiwan hampir pupus seperti kura-kura panjang.
“Kami juga menyediakan fasiliti lengkap seperti restoran, surau dan tempat membasuh tangan bagi menjaga kebersihan,” tuturnya.