MOSCOW – Seorang pelajar sekolah di Russia maut akibat diserang oleh kawanan babi selepas dia ditinggalkan bersendirian di rumah untuk menjaga kebun keluarganya, lapor laman berita Daily Mirror semalam.
Milena Shevelyova, 17, pergi ke kandang babi untuk memberi makan kepada haiwan-haiwan itu semasa ketiadaan ibu bapanya.
Dia pada awalnya dirempuh oleh seekor babi betina besar yang agresif.
Disebabkan rempuhan itu, remaja tersebut jatuh dan tidak sedarkan diri, demikian menurut laporan mengenai kejadian itu yang berlaku di wilayah Krasnoyarsk.
“Semua babi lain kemudian turut menyerangnya. Haiwan-Haiwan itu mengoyakkan arteri femoralnya dan menggigit mangsa. Milena mati akibat kehilangan darah,” kata laporan dari saluran Bad News di Telegram.
Mangsa dilaporkan mengalami luka di kepala dan badan akibat serangan itu. – AGENSI