PETALING JAYA – Kumpulan MBSB mengumumkan keputusan kewangannya untuk suku tahun ketiga berakhir 30 September 2024 hari ini, yang mencerminkan pertumbuhan stabil merentas semua metrik kewangan utama.
Prestasi itu menyerlahkan pendekatan berdisiplin Kumpulan untuk mengemudi persekitaran operasi yang dinamik, sambil mengekalkan tumpuannya kepada pertumbuhan mampan dan kecekapan operasi.
Bagi tempoh sembilan bulan, Kumpulan MBSB mencatatkan hasil sebanyak RM2.8 bilion, peningkatan daripada RM2.1 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas, mewakili pertumbuhan 33 peratus tahun ke tahun.
Ia didorong oleh gabungan yang pendapatan dana dan bukan dana, yang mana pendapatan dana mencecah RM1.1 bilion, meningkat RM298 juta daripada tahun sebelumnya, disokong oleh pendapatan pembiayaan dan perbendaharaan lebih tinggi.
Pendapatan bukan dana pula menyaksikan peningkatan ketara kepada RM145 juta daripada RM37 juta, disebabkan oleh penambahbaikan dalam khidmat nasihat, pendapatan yuran, keuntungan daripada pelaburan kewangan dan sumbangan daripada MIDF.
Keuntungan selepas cukai meningkat kepada RM255 juta, 34 peratus lebih tinggi berbanding RM191 juta pada sembilan bulan pertama tahun lalu, dengan prestasi mantap merentas semua segmen perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rafe Haneef berkata, pihaknya teruja dengan keputusan kewangan untuk suku tahun ketiga 2024, yang mencerminkan kemajuan yang stabil.
“Kami mula melihat bagaimana kerjasama antara MBSB Bank dan MIDF telah mengukuhkan keupayaan kami dalam membina kumpulan yang lebih berdaya tahan dan pelbagai.
“Walaupun masih ada kerja yang perlu dilakukan, pertumbuhan dalam hasil dan keuntungan menunjukkan tumpuan kami untuk mengoptimumkan kunci kira-kira dan pengurusan kos berada di landasan yang betul.
“Bergerak ke hadapan, kami menyasarkan untuk membina momentum ini, memastikan kami kekal komited menawarkan penyelesaian kewangan yang inovatif dan mengutamakan pelanggan, sambil mengekalkan asas yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan. – KOSMO! ONLINE