PUTRAJAYA – Laluan khas akan disediakan di setiap Sekatan Jalan Raya (SJR) dan pemandu kenderaan perdagangan hanya perlu mengemukakan surat pengesahan majikan jika diminta oleh pihak berkuasa.
Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) berkata, tiada sekatan jalan raya untuk kenderaan perdagangan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Menurutnya, MOT amat peka dan memandang serius segala isu atau permasalahan membabitkan orang ramai terutama bagi memastikan kelangsungan aktiviti perdagangan dan sektor logistik terus beroperasi dengan lancar dan selamat.
“Bagi memastikan kelancaran pergerakan, pemilik kenderaan perdagangan tidak disyaratkan mendapatkan surat kelulusan daripada MOT dan memadai hanya dengan mendapat surat pengesahan daripada majikan masing-masing.
“Bagi syarikat-syarikat sektor logistik yang lain (contohnya seperti freight forwarders, (operator gudang) yang berdaftar dengan persatuan masing-masing, surat kebenaran daripada MOT boleh diperoleh daripada persatuan masing-masing,” katanya di sini hari ini.
Katanya, surat kebenaran daripada MOT dan bukti keahlian persatuan perlu disertakan sekiranya diminta oleh pihak berkuasa.
Menurutnya lagi, bagi syarikat yang tidak berdaftar dengan mana-mana persatuan, surat kelulusan daripada MOT boleh dipohon menerusi pautan https://application.mot.gov.my/.
Pada masa sama, MOT turut menasihatkan pengguna pengangkutan awam supaya sentiasa mematuhi SOP dan garis panduan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai langkah mencegah penularan Covid-19. – K! ONLINE