fbpx

PABM ikat Edmund secara tetap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMIRUL

KUALA LUMPUR – Bekas atlet angkat berat negara, Edmund Yeo sah mengemudi skuad kebangsaan secara tetap dengan harapan dapat menamatkan kemarau pingat emas di Sukan SEA 2025 di Thailand.

Untuk rekod, kali terakhir skuad angkat berat negara membawa pulang pingat emas adalah pada Sukan SEA 2005 di Filipina, menerusi Che Azrol Che Mat dalam kategori 105 kilogram.

Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Amirul Hamizan Ibrahim berkata, Edmund yang sebelum ini dipinjamkan daripada Sarawak, kini menjadi jurulatih tetap selama selama dua tahun bermula 1 Januari 2025 bagi memperkasakan skuad kebangsaan.

“Pelantikan ini adalah hasil persetujuan bersama antara PABM dan Sarawak. Ia bertujuan memastikan persiapan rapi untuk menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand serta kelayakan Sukan Komanwel Glasgow 2026.

“Kami yakin Edmund mampu membawa skuad ini meraih emas, berdasarkan rekod cemerlangnya melatih atlet ternama seperti Aniq Kasdan dan Aznil Bidin di peringkat antarabangsa.

“Dari sudut sasaran, KPI (Petunjuk Indeks Prestasi) yang diletakkan kepada Edmund adalah untuk meraih satu pingat emas di Sukan SEA Thailand tahun depan,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.

Edmund akan mengetuai skuad seramai 17 atlet, termasuk lima atlet podium dan lapan atlet pelapis yang berpotensi menyerlah di pentas antarabangsa.

Amirul berkata, Edmund akan dibantu dua jurulatih iaitu Nurshah Rizal Ruslan dan Nur Jannah Batrisyah yang mengendalikan skuad pelapis.

Skuad angkat berat kebangsaan akan memulakan latihan di MSN Bukit Jalil Januari depan, termasuk atlet baharu yang disaring daripada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN