GUA MUSANG – Hujan berterusan hari ini menyebabkan hampir 200 penduduk di Kampung Batu 6 di sini terkandas selepas jambatan besi yang menghubungkan perkampungan itu ditenggelami air Sungai Galas.
Selain jambatan besi, jambatan sementara yang dibina pihak kontraktor yang terletak bersebelahan lokasi tersebut turut tenggelam.
Seorang penduduk, Suzili Sulaiman, 49, berkata, hujan sejak pukul 6 pagi tadi menyebabkan jambatan mula tenggelam pukul 1 tengah hari.
Katanya, penduduk masih boleh melalui jambatan itu untuk keluar kampung bagi menghantar anak ke sekolah pada waktu pagi. Jambatan ini tenggelam apabila tiba musim tengkujuh atau hujan berterusan.
“Jadi kami terpaksa menggunakan jalan alternatif melalui laluan kereta api untuk menghantar anak ke sekolah. Jambatan kereta api itu hanya untuk laluan pengguna motosikal dan pejalan kaki,” katanya.- KOSMO! ONLINE