BERLIN – Kemudahan awam bawah tanah di Jerman akan diubah menjadi tempat perlindungan di tengah-tengah kebimbangan bahawa konflik Ukraine berisiko mencetuskan Perang Dunia Ketiga, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Menurut seorang jurucakap kerajaan, selain semua kemudahan bawah tanah termasuk stesen kereta api dan tempat letak kereta, bangunan kerajaan serta harta persendirian juga dijangka digunakan jika berlakunya perang.
Ujarnya, direktori digital semua kemudahan bawah tanah dan tempat perlindungan kecemasan akan disediakan supaya orang ramai boleh mencarinya dengan menggunakan aplikasi mudah alih.
Selain itu, rakyat juga akan digesa menukar ruang bawah tanah rumah mereka dan garaj untuk dijadikan tempat perlindungan.
Tambah jurucakap tersebut, kesemua itu merupakan projek besar yang akan mengambil sedikit masa untuk disediakan, dan melibatkan Pejabat Perlindungan Awam dan Bantuan Bencana serta pihak berkuasa lain.
Jerman, sebuah negara dengan lebih 84 juta penduduk mempunyai 579 tempat perlindungan awam yang boleh memuatkan sekitar 480,000 orang.
Jurucakap tersebut berkata, perkara utama rancangan itu telah dipersetujui pada persidangan pegawai kanan pada Jun lalu dan kumpulan khas sedang menelitinya.
Jerman semakin menumpukan pada pertahanan negaranya sejak pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada Februari 2022, ketika perang itu dibimbangi merebak dengan lebih meluas di benua Eropah.
Sebelum itu, dalam satu persidangan di Brussels, Belgium, Pengerusi Jawatankuasa Tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Laksamana Rob Bauer mengingatkan perniagaan-perniagaan di Eropah dan Amerika agar bersiap sedia menghadapi senario era perang. – AGENSI