BALIK PULAU – Seorang bekas banduan yang memiliki 43 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Batu Maung di sini pada hari pertama perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal pagi tadi.
Lelaki berusia 34 tahun itu diberkas bersama seorang rakannya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu Kawan dekat sini kira-kira pukul 1 pagi.
Kenalannya yang juga berusia 34 tahun turut memiliki 19 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan berkata, penahanan dua lelaki tersebut dilakukan selepas mendapati kereta jenis Proton Wira yang dinaiki mereka berada dalam keadaan mencurigakan semasa berhenti di sekatan jalan berkenaan.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut, kereta yang didakwa dipinjamkam daripada seorang rakan tidak memiliki cukai jalan.
“Soal siasat awal ke atas lelaki yang juga pemandu kereta terbabit mendapati dia yang memiliki 43 rekod jenayah dan dadah lampau itu baru dibebaskan dari penjara September tahun lalu serta serta masih berada di bawah pengawasan polis.
“Ketika ditahan, lelaki tersebut juga memberi alasan menghantar kuih di kawasan Batu Maung dan ketika ditahan dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Anbalagan berkata, pemeriksaan di dalam kereta tersebut tidak menemui sebarang objek yang mencurigakan dan mereka ditahan bagi menjalani proses dokumentasi serta ujian saringan air kencing di Balai Polis Bayan Baru.
Sementara itu, Anbalagan berkata, sebanyak enam SJR diadakan di daerah itu ketika PKP yang bermula hari ini hingga 26 Januari depan dengan keanggotaan 300 orang termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). – K! ONLINE