KOTA BHARU – Sebanyak 160 pangkalan hadapan dan 17 mini depot di setiap daerah di Kelantan telah menerima barangan keperluan mangsa banjir sebagai persiapan menghadapi kemungkinan bah besar.
Pemangku Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Md. Yani Mat Zin, berkata, kesemua bekalan telah dihantar bermula September lalu.
“Keperluan makanan dan pakaian yang disediakan pada tahun ini lebih berbanding tahun lalu untuk diagihkan kepada 459 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Kelantan,” katanya ketika ditemui pemberita di Depoh Simpanan Keperluan Bencana, Taman Kemumin, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Md. Yani memberitahu, kerajaan negeri telah melantik 85 pembekal di seluruh daerah sekali gus membolehkan JKM mengambil barangan tambahan sekiranya bekalan untuk mangsa banjir tidak mencukupi.
Katanya, sebanyak 34 pembekal telah dilantik di Gua Musang untuk membekalkan keperluan apabila bekalan makanan yang disediakan tidak cukup. – KOSMO! ONLINE