SYDNEY – Pelumba trek Olimpik, Matthew Richardson menerima tamparan hebat apabila AusCycling mengambil tindakan dengan menjatuhkan hukuman larangan seumur hidup terhadapnya untuk menyertai Australia.
Richardson mencetuskan kontroversi apabila bertindak menukar kewarganegaraannya ke Great Britain sejurus tamat temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
AusCycling menjatuhkan hukuman tersebut selepas melakukan siasatan menyeluruh dan mendapati Richardson melanggar nilai serta etika pasukan kebangsaan Australia serta komuniti berbasikal negara itu.
Menurut laporan siasatan, Richardson didapati meminta badan induk berbasikal dunia, UCI untuk menangguhkan pengumuman rasmi perubahan kewarganegaraannya sehingga selepas Olimpik.
Lebih mengejutkan, Richardson didapati menyembunyikan keputusan penting ini daripada AusCycling, rakan sepasukan dan pihak berkepentingan sebelum bertanding di Paris.
Malah, selepas tamat temasya Olimpik, Richardson cuba membawa pulang aset milik AusCycling seperti basikal khas dan sut perlumbaan ke Great Britain, sesuatu yang dianggap sebagai ancaman kepada hak intelektual Australia.
“Richardson tidak akan dibenarkan menyertai pasukan kebangsaan Australia pada masa akan datang dan dilarang menggunakan sebarang sumber atau kemudahan berkaitan dengan AusCycling.
“Richardson tidak lagi layak menerima sebarang anugerah daripada AusCycling,” kata AusCycling dalam satu kenyataan.
Pengurus Besar Prestasi AusCycling, Jesse Korf, menegaskan keputusan ini dibuat bagi mempertahankan nilai-nilai yang menjadi asas kejayaan sukan berbasikal Australia. – AGENSI