KLANG – Kelicikan tujuh remaja menjadikan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun sebagai ‘tahanan’ mereka selama dua hari berakhir apabila dicekup polis, baru-baru ini.
Kesemua suspek termasuk dua remaja perempuan berusia 15 hingga 19 tahun ditahan di sebuah pangsapuri di i-City Seksyen 7, Shah Alam dan pekarangan Mid Valley Megamall dalam tempoh dua jam bermula pukul 11 malam pada 18 November lalu.
Selain itu, polis juga berjaya menemui mangsa dalam keadaan selamat.
Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa daripada bapa mangsa berusia 47 tahun kira-kira pukul 10. 28 malam pada 16 November lalu.
Katanya, ini selepas mangsa didapati tidak pulang ke rumah pada pukul 6.30 petang selepas keluar dari kediamannya di sebuah pangsapuri di Taman Kem, Pelabuhan Klang kira-kira pukul 4 petang hari sama.
“Bapa mangsa telah menerima pesanan suara daripada telefon mangsa yang meminta mengambil anak perempuannya di sekitar kawasan Subang dalam keadaan sedang bertengkar dengan seorang lelaki.
“Pengadu yang telah ke lokasi kedudukan yang dihantar suspek mendapati anaknya tiada di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, bapa mangsa kemudiannya menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp menyatakan suspek akan melepaskan anaknya di kawasan Kuala Lumpur.
Namun, Hoong Fong menambah, suspek juga mengugut akan menjual mangsa apabila pengadu menyatakan akan membuat laporan polis.
Suspek juga menuntut ganti rugi sekiranya hendak dipulangkan mangsa.
“Bertindak atas maklumat, polis kemudiannya membuat serbuan di sebuah pangsapuri di I-City, Seksyen 7 Shah Alam dan berjaya menyelamatkan mangsa dalam keadaan selamat selain menahan lima suspek.
“Soal siasat terhadap suspek kemudiannya membawa penahanan dua lagi suspek di pekarangan Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau memaklumkan, semakan rekod mendapati kesemua suspek yang ditangkap tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Kesemua suspek kini telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman mereka tamat 22 November lalu.
“Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengambil atau memikat kanak-kanak berumur 16 tahun ke bawah tanpa kerelaan penjaga yang sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE