PETALING JAYA – Malaysia mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dari dua konglomerat Republik Korea iaitu Samsung Group dan SK Group terutamanya dalam bidang baharu seperti kenderaan elektrik (EV), semikonduktor serta biologik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah bertemu sendiri kedua-dua konglomerat tu pada hari ini sempena hari terakhir lawatan tiga hari di Seoul, Korea Selatan.
Jelasnya, pada pertemuan itu, beliau telah mengadakan perbincangan dan kedua-dua pihak sangat produktif berlatarbelakangkan kerjasama ekonomi yang lebih rapat.
“Samsung Group yang telah bertapak sejak tahun 1983 telah berkembang menjadi salah satu syarikat yang besar dan diiktiraf dunia dengan kecekapan dan kemahiran dalam lapangan barangan dan kelengkapan elektrik, pembinaan dan perkapalan serta banyak lagi.
“Sekalung penghargaan kepada Samsung atas kepercayaan dan keyakinan yang berterusan konglomerat itu kepada Malaysia.
“Saya mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dari Samsung terutamanya di bidang-bidang baru seperti rantaian bekalan bateri EV, hidrogen hijau dan pemerangkapan serta penyimpanan karbon (CCS) serta semikonduktor,” katanya pada hantaran di laman Facebook.
Pada masa sama, Anwar turut memaklumkan bahawa beliau turut bertemu SK Group iaitu sebuah syarikat yang ditubuhkan pada 1953 dan ketika ini merupakan konglomerat kedua terbesar di Republik Korea.
Katanya, syarikat itu mempunyai pelbagai industri termasuk tenaga, telekomunikasi, bahan kimia, biologik (biopharmaceuticals), dan semikonduktor.
“SK Group melalui anak syarikatnya SK Nexilis mempunyai lembaga di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Sabah untuk pengeluaran kerajang tembaga (copper foil), iaitu elemen utama yang digunakan dalam bateri lithium-ion untuk EV.
“Saya teruja tatkala mendengar cadangan dari SK Plasma untuk melabur di Malaysia dan tentunya kerajaan akan memberi dukungan penuh pada hasrat tersebut.
“Usaha ini tidak hanya akan menambah baik infrastruktur untuk pengutipan plasma di Malaysia, tetapi juga akan membangun industri biologik di Malaysia lantas mengurangkan kebergantungan kepada import produk plasma,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE