KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM16.81 juta dalam menaik taraf serta membaik pulih kemudahan di stesen Monorel di ibu negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebanyak RM6.81 juta daripada jumlah itu adalah untuk menaik taraf Pintu Platform Automatik (PAGS) di 11 stesen Monorel Kuala Lumpur.
Katanya, pemasangan PAGS ini merupakan langkah penting bagi meningkatkan keselamatan pengguna sekali gus mengurangkan risiko kemalangan terutamanya melibatkan Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan.
“Setakat ini, dua daripada 11 stesen iaitu di KL Sentral dan Jalan Tun Sambanthan telah siap. Yang akan siap seterusnya adalah Maharajalela, Imbi, Hang Tuah serta Bukit Bintang.
“Kita jangka semua akan siap (sistem lengkap dengan PAGS) Disember ini,” katanya ketika sidang akhbar di Stesen Monorel KL Sentral selepas meninjau stesen monorel bermula dari Stesen Monorel Titiwangsa hari ini.
Ujarnya, sistem PAGS ini sudah dilaksanakan sejak 2016 namun tergendala disebabkan masalah ‘signaling’ dan lain-lain.
“Kita terima rungutan daripada orang awam susulan banyak insiden penumpang terjatuh ke dalam trek landasan semasa melangkah masuk gerabak. Dari 2017 hingga tahun ini sebanyak 10 insiden telah berlaku.
“Bagi tahun 2023, sebanyak dua insiden manakala tahun ini pula melibatkan tiga kes,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, katanya, sejumlah RM10 juta pula bagi membaik pulih kemudahan lif serta eskalator di Stesen Monorel di sini, bagi memudahkan kira-kira 60,000 penumpangnya setiap hari.
“Penyelenggaraan semua kemudahan ini dijangka siap sepenuhnya pada April tahun depan,” jelasnya.
Tambahnya, pihaknya juga akan membuat penambahan gerabak agar ia bergerak lebih kerap dan menambah keselesaan penumpang.
“Kekerapan pergerakan tren monorel adalah 7 minit di waktu puncak.
“Kita harapkan ia (kekerapan tren) dikurangkan kepada 5 minit dengan penambahan gerabak baharu nanti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE