BATU PAHAT – Seorang remaja lelaki berusia ditemui lemas selepas cuba menyelamatkan adiknya yang terjatuh ke dalam parit dalam kejadian di Jalan Taman Manis 6, Parit Raja di sini lewat petang semalam.
Menurut Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba, Mohamad Shamin Mohamed Salikin, mangsa, Muhammad Naqiuddin Adnan, 16, berjaya membawa adiknya ke tebing parit namun hanyut dibawa arus deras selepas itu.
Katanya, sebelum kejadian mangsa bersama lima rakannya mandi-manda di parit berkenaan.
“Bomba menerima panggilan kecemasan mencari dan menyelamat (SAR) di air melalui semalam pada pukul 5.17 petang semalam.
“Susulan itu sebuah jentera FRT dan Utiliti Pajero dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam dengan kekuatan keseluruhan seramai sebelas 11 anggota telah dihantar ke tempat kejadian.
“Pasukan Keluar Operasi (PKO) membuat tindakan SAR mangsa menggunakan teknik ‘surface searching’ dari lokasi mangsa lemas ke arah arus air yang bertentangan iaitu arah pintu air dengan jarak lebih kurang satu kilometer,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Shamin berkata, parit tersebut mempunyai lebar 10 meter dan kedalaman 3 meter dan misi SAR berjaya menemui mangsa pada jarak 5 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
Jelasnya, mayat mangsa ditemui pada pukul 8.47 pagi pada jarak kira-kira lima meter dari lokasi dia dihanyutkan arus deras.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada pukul 8.50 pagi. – K! ONLINE